Zaman itu aku masih lagi belajar dalam jurusan kejuruteraan teknologi plastik. Sudah kebiasaan, kalau seorang pelajar mana ada sumber kewangan yang kukuh. Hanya mengharap alaun belajar dan kalau tidak segan bolehlah mengendeng dari emak dan bapa.
Telah menjadi rutin harian aku pada hujung minggu akan membawa kekasihku bersiar-siar di Sg. Wang, Lot 10 dan Isetan. Pada zaman aku tempat inilah yang paling meriah. Apa tidaknya, baru sahaja dibuka kepada umum. Berduyun-duyun yang datang bila hujung minggu. Sudah seperti bas stand klang suasananya.
Kali ini aku ingin membelikan selipar untuk kekasihku. Lagi pun dia sudah berkali-kali tanya mahukan sebuah selipar baru bagi menggantikan yang telah rosak. Sebenarnya bukan rosak tapi hilang entah kemana.
Hari yang dijanjikan sudah tiba, aku datang dengan motosikal Yamaha SS aku. Memang hebat aku pada masa itu. Kami terus sahaja ke menuju ke destinasi. Apa lagi, BB plaza.
Dalam kesesakan tempat letak motosikal akhirnya aku berjaya mendapat satu petak. Betul-betul berada hampir di pintu utama BB plaza. Tapi bukan pintu hadapan…pintu belakang.
Kami terus memasuki ke dalam plaza dan bersiar-siar ke kawasan sekitar. Tingkat demi tingkat. Sampai sahaja di hadapan kedai kasut Sachs, kekasih aku minta untuk masuk sebentar. Sahaja ingin melihat-lihat dahulu. Aku ikut sahaja.
Sedang aku leka melihat pelbagai jenis kasut, kekasih datang sambil membawa sepasang selipar Sachs. Dia suka akan selipar itu sambil mangacukan ke kaki. Cadangan aku bila selesai dengan selipar itu bolehlah menuju ke kedai makan. Perut terasa lapar pula.
Tanpa berkata banyak, aku pun memberi isyarat tangan yang selipar itu sesuai untuknya. Malah, aku dengan bangga berkata jika mahu dua pun boleh. Bukan apa, masa aku membelek kedai itu aku sudah perasan harga selipar itu hanya RM24 sahaja. Jadi, apa salahnya kalau dua pasang.
Kekasihku terus ke kaunter bayar sambil memberi isyarat yang dia mahu satu sahaja. Aku ikut sahaja tanpa bantah sambil mengeluarkan beg duit aku dari poket belakang. Terus sahaja aku seluk RM30 dan beri kepada pekerja kaunter. Pekerja kaunter terus memandang aku seperti menantikan sesuatu. Aku perhatikan sahaja. Sebabnya aku tidak faham. Apabila aku toleh ke mesin kira, baru aku perasan yang aku belum buat bayaran penuh!…hah! RM124.00 Peh! Terkebil-kebil aku mengeluarkan baki yang perlu dibayar. Selesai buat bayaran, aku dan kekasihku terus keluar dari kedai itu.
Keadaan menjadi senyap sunyi. Tiada satu perkataan yang keluar dari mulut aku ketika itu. Aku terkejut hingga fikiran menjadi kosong. Sedangkan aku yang terasa lapar tadi terus kenyang. Selera makan menjadi pudar.
Kami terus menunggang motosikal dan terus menuju ke rumah kekasihku. Sampai disana, emak kekasihku telah menyediakan makanan untuk kami. Kami makan bersama-sama. Selesai makan, aku pun menceritakan apa yang telah berlaku ketika di BB plaza tadinya.
Kami terus ketawa…sungguh-sungguh kami ketawa…
Sebelum balik, aku dibekalkan wang ringgit oleh emak kekasihku. Agar aku ada wang untuk pergi belajar esoknya. Atas sebab pembelian yang tidak terancang tadi…aduh! Malunya aku.
Sehingga kini, aku dan isteriku masih terkenang peristiwa itu dan ini membuat kami akan ketawa besar…walaupun sudah diceritakan entah yang ke berapa kali…
No comments:
Post a Comment