Sunday, January 16, 2011

Pusat Pembuangan Sampah Haram di Sg.Kertas



BATU CAVES: Angin kencang di kawasan lereng bukit menyebabkan operasi memadamkan api di pusat timbunan sampah haram yang terbakar di Kampung Sungai Kertas, di sini mengambil masa dua hari untuk dipadamkan.

Ketua
Balai Bomba Selayang, Zakaria Aini, berkata selepas menerima laporan pada jam 10 pagi kelmarin, lebih tiga jentera bomba bertukar giliran menjaga tempat itu bagi mengelak implikasi tidak diingini.
Keadaan kini terkawal, cuma kita pantau bara api di celah sampah yang mungkin terbakar kerana angin kencang.

Siasatan awal mendapati kawasan itu terbakar sendiri dan kami tidak menemui bukti atau petunjuk berkaitan dengan sebarang unsur jenayah,” katanya semalam.

Tinjauan di kawasan itu malam tadi mendapati api marak di kawasan pembuangan sampah haram itu sejak malam tahun baru sehingga asap menjejaskan penduduk Kampung Sungai Kertas, taman perumahan berhampiran dan kawasan Selayang.



Bendahari Persatuan Penduduk Taman Desa Indah yang terletak di bawah bukit kawasan pembuangan sampah, Kamarul Sulaiman, berkata kebakaran itu menjejaskan alam sekitar serta memudaratkan penduduk.
Beliau meminta pihak berkuasa, khususnya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertindak tegas terhadap pihak menguruskan tempat buang sampah haram itu.

Ahli jawatankuasa persatuan penduduk, Muhd Azmi Talib, berkata mereka sudah banyak kali membuat aduan kepada MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, berhubung pusat pembuangan sampah itu, tetapi tiada tindakan diambil.

Pada hari biasa pun kami terpaksa menghidu bau dan lori angkut sampah juga lalu depan rumah sehingga menyebabkan habuk, gatal kulit serta batuk di kalangan kanak-kanak.

Setiap hari kira-kira 100 lori berulang-alik sehingga ke subuh mengangkut sampah,” katanya.

No comments: