PETALING JAYA, 18 Jan – Seorang jurufoto Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ditemui mati terlentang dalam bilik air di kediamannya di sebuah kondominium di Seksyen 10, Kota Damansara, hari ini.
Norhaslinda Jaffar, 34, ditemui mati dalam keadaan berulat dan berbau busuk oleh rakan serumahnya yang kebetulan baru pulang dari bertugas di luar negeri kira-kira pukul 5.30 pagi.
Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
"Rakan mangsa yang berusia 40an terhidu bau busuk ketika masuk ke dalam rumah, terkejut apabila menemui mayat mangsa yang sudah berulat di dalam bilik air," katanya.
Arjunaidi berkata mangsa dipercayai telah mati lebih tiga hari lepas.
Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian mangsa.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama
No comments:
Post a Comment